Ahli Parlimen Australia diselar
KUALA LUMPUR 13 Feb. – Gesaan 50 ahli Parlimen Australia agar kerajaan menggugurkan pertuduhan liwat ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim memperlihatkan mereka tidak memahami sistem demokrasi berparlimen di sini.
Presiden Pergerakan Keadilan Sedunia (Just World Movement), Dr. Chandra Muzaffar (gambar) berkata, dalam sistem berkenaan yang turut diamalkan di negara itu, kerajaan yang merupakan sebuah badan eksekutif tidak berhak meminta badan kehakiman menggugurkan kes tersebut apatah lagi setelah perbicaraan bermula.
Menurutnya, permintaan itu juga merupakan sesuatu yang janggal kerana jika diperhatikan, Anwar telah diberikan sepenuh hak untuk memfailkan beberapa petisyen dalam mempertahankan dirinya sehingga perbicaraan itu tertangguh 18 bulan dari tarikh sepatutnya.
‘‘Kenapa mereka ghairah pertahankan Anwar, adakah ini menguatkan dakwaan bahawa Anwar merupakan darling of the west seperti yang telah kita dengar beberapa tahun lalu.
‘‘Jika benar anggota Parlimen Australia itu mendokong dan menjuarai sistem demokrasi, apakah pula nasib pengadu dalam kes liwat itu iaitu Mohd. Saiful Bukhari Azlan? Siapakah yang membelanya?’’ soal Chandra ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau mengulas tindakan 50 penggubal undang-undang Australia baru-baru ini yang menggesa kerajaan Malaysia menggugurkan kes liwat terhadap Anwar dengan alasan ia akan mencemarkan imej negara.
Dalam laporan agensi berita asing semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kecil bagi Hal Ehwal Luar Parlimen Australia, Michael Danby berkata, pendakwaan liwat kali kedua ke atas Anwar merupakan sesuatu yang memalukan sistem demokrasi di Malaysia dan merasakan mereka perlu menyokong pemimpin pembangkang itu.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BN-BBC), Datuk Bung Moktar Radin menyifatkan tindakan ahli-ahli Parlimen Australia itu sebagai perbuatan bodoh dan keterlaluan.
Menurut beliau, kebodohan itu mungkin disebabkan kesemua ahli Parlimen itu merasakan Australia merupakan sebuah negara yang maju dari segala aspek terutama hak asasi dan perundangan.
‘‘Ahli-ahli Parlimen itu perlu mencermin diri dan selesaikan pelbagai masalah yang dihadapi kaum Orang Asli (Aborigines) di sana sejak dahulu dan apa pula halnya dengan beberapa pembunuhan warga India di Australia yang tersebar di media antarabangsa sejak dahulu.
‘‘Inilah sebab saya mengatakan mereka ini bodoh, jadi semua pemimpin luar negara terutama dari negara ‘Down Under’ ini tolong jangan bersikap pandai,’’ katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
